AM

Kerajaan Lulus RM52 Juta Bina Semula SK Balaban Jaya

13/04/2026 11:37 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan RM52 juta pada 2025 di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya di Beluran, Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kelulusan itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan bagi memastikan akses pendidikan yang selamat dan berkualiti kepada murid di kawasan berkenaan.

“Projek pembinaan semula sekolah itu melibatkan pembinaan enam bilik darjah, blok pentadbiran, bilik khas, empat rumah guru serta kemudahan lengkap lain.

“Projek kini berada pada fasa prabina dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan siasatan tanah dan proses tender akan menyusul,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata tender bagi projek naik taraf itu dijangka dibuka pada Mei ini dan pelaksanaannya akan disegerakan.

Sementara itu, Wong berkata pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Beluran sedang mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa bagi cadangan penempatan sementara pelajar di SK Pekan Beluran.

“Kerajaan MADANI prihatin. KPM (Kementerian Pendidikan) mendengar pandangan semua termasuk ibu bapa dan masyarakat kerana keselamatan murid adalah keutamaan KPM,” katanya.

Pada 11 April, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera diambil bagi menangani isu prasarana daif di SK Balaban Jaya yang menyebabkan pelajar mengikuti sesi pembelajaran dalam keadaan tidak sesuai.

Isu timbul susulan laporan mengenai keadaan pelajar di sekolah berkenaan yang terpaksa mengikuti kelas di dalam khemah tanpa dinding serta di ruang koridor masjid disebabkan kerosakan pada sebahagian infrastruktur sekolah itu akibat pergerakan tanah dan cerun, hingga menjadikan persekitaran sekolah tidak selamat untuk digunakan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544213