EKONOMI

TNB Aktif Laksana Sasaran 70 Peratus Kapasiti Tenaga Boleh Baharu Menjelang 2050

13/04/2026 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang giat melaksanakan pelan hala tuju untuk mencapai kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak  70 peratus menjelang 2050, kata Ketua Pegawai Kelestariannya Leo Pui Yong.

Komitmen ini dizahirkan antaranya melalui rangkaian projek yang kukuh, termasuk inisiatif solar terapung hibrid hidro berkapasiti 2.5 gigawatt dan pembangunan ladang solar berkapasiti 500 megawatt (MW).

Sehingga 2025, TBB merangkumi kira-kira 26.5 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan TNB, dengan jumlah kapasiti hijau terpasang sebanyak 4,303MW.

“Bagi memperkukuh usaha ini, pelan pengurusan karbon TNB memberi tumpuan kepada pengoptimuman aset penjanaan semasa bagi memastikan setiap megawatt membawa jejak pelepasan yang lebih rendah, sekali gus memperteguh laluan yang praktikal dan segera ke arah kemampanan,” katanya pada Sustainability Week Asia 2026 yang diadakan baru-baru ini.

Walaupun peluasan kapasiti penjanaan adalah penting, kesiapsiagaan grid kekal sebagai pemangkin utama.

"Di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), sejumlah RM43 bilion diperuntukkan untuk pelaburan grid nasional bagi Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) semasa, iaitu lebih dua kali ganda berbanding RP3," katanya.

Komitmen modal yang belum pernah terjadi sebelum ini menekankan keazaman TNB untuk membina grid yang lebih pintar dan mampu menguruskan penembusan TBB yang semakin meningkat.

Bagi mengukuhkan lagi infrastruktur ini, TNB melancarkan perintis Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk mengurangkan isu ketidaktentuan dan meningkatkan kestabilan grid secara keseluruhan.

Leo berkata proses evolusi tenaga TNB juga berfungsi sebagai peneraju serantau.

Rangkaian rentas sempadan sedia ada telah memudahkan keselamatan bekalan, dengan kapasiti sambungan sebanyak 1,000MW ke Singapura dan 380MW ke Thailand.

Sebagai langkah utama ke arah Grid Kuasa ASEAN (APG), TNB telah mengendalikan ENEGEM (Energy Exchange Malaysia). Platform ini memudah cara perdagangan elektrik hijau rentas sempadan sehingga 50MW, sekali gus mengubah integrasi serantau menjadi ekosistem yang berfungsi dan tangkas.

TNB giat menyumbang secara aktif kepada APG, seperti yang dibuktikan melalui projek ketersambungan rentas sempadan seperti Vietnam–Malaysia–Singapura, Malaysia–Indonesia dan Malaysia–Sarawak.

Penghantaran TBB ke Singapura dari Laos melalui Thailand dan Malaysia pada tiga tahun lalu menandakan satu peristiwa penting dalam perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.

Perlu ditekankan bahawa APG merupakan inisiatif serantau yang bertujuan mengintegrasikan rangkaian elektrik negara-negara Asia Tenggara bagi meningkatkan keselamatan tenaga, mengoptimumkan perkongsian sumber dan menyokong peralihan kepada tenaga mampan di seluruh rantau ini.

Inisiatif ini memudah cara perdagangan kuasa pelbagai hala dan memperkukuh ketersambungan rentas sempadan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Memandangkan permintaan global semakin berkembang, terutamanya dengan pertumbuhan pelaburan pusat data, kepantasan untuk menyalurkan tenaga kini menjadi sama penting dengan kemampanan, kata Leo sambil menambah melalui laluan Green Lane, TNB sedang memperkemas garis masa infrastruktur untuk membolehkan bekalan kuasa disalurkan dalam tempoh 12 bulan.

“Tindak balas ini mencerminkan kerjasama erat dengan pelanggan bagi memenuhi permintaan tenaga berskala besar yang berkembang pesat. Daripada kejelasan dasar kepada kesiapsiagaan infrastruktur, peralihan tenaga Malaysia kini bergerak dengan tegas daripada tahap aspirasi kepada tahap pelaksanaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544242