ISTANBUL, 13 April (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan Australia pada Isnin melantik panglima tentera darat wanita pertama dalam sejarah 125 tahun angkatan tentera negara itu, menurut satu kenyataan rasmi yang dipetik agensi Anadolu Ajansi.
Ketua Keupayaan Bersama, Lt. Jen. Susan Coyle, akan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang baharu susulan persaraan penyandang jawatan itu, Lt. Jen. Simon Stuart pada Julai depan, menurut kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Anthony Albanese.
"Bermula Julai, kita akan mempunyai Panglima Tentera Darat wanita yang pertama dalam sejarah 125 tahun Tentera Darat Australia," katanya.
Memulakan kerjaya sebagai tentera dalam Pasukan Simpanan Tentera Darat pada 1987, Coyle telah berkhidmat di pelbagai peringkat termasuk taktikal, operasi dan strategik serta memegang pelbagai peranan sebagai pegawai pemerintah.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuk Ketua Peperangan Maklumat, Komander Markas Angkatan Tentera, Komander Pasukan Petugas Bersama 633, Komander Briged ke-6, Komander Kumpulan Petugas Afghanistan dan Pegawai Memerintah Rejimen Semboyan ke-17.
Dalam pada itu, Laksamana Tentera Laut Laksamana Madya Mark Hammond pula dinamakan sebagai Panglima Angkatan Pertahanan yang baharu bagi negara berkenaan.
Menurut Kementerian Pertahanan Australia, kekuatan Angkatan Pertahanan Australia mencecah 61,189 anggota setakat Julai lepas, termasuk anggota simpanan dan kakitangan awam.
-- BERNAMA-ANADOLU