JENAYAH & MAHKAMAH

14 Pelajar, Dua Wanita Didakwa Kes Gaduh Di Skudai

14/04/2026 06:00 PM

JOHOR BAHRU, 14 April (Bernama) -- Sebanyak 14 pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan berkaitan insiden pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Skudai, Jumaat lepas.

Kesemua pelajar itu didakwa menjadi ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama untuk bergaduh serta melakukan kesalahan merusuh, sehingga menyebabkan kekerasan digunakan dalam perhimpunan berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya, Jalan Silat Lincah, Bandar Selesa Jaya, Skudai kira-kira 12.45 tengah hari pada 10 April lepas mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan hukuman lepas dengan amaran, bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah, membayar denda, perintah khidmat masyarakat, penempatan di sekolah yang diluluskan atau penempatan ke Sekolah Henry Gurney.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Nabilah Nizam, enam pelajar lelaki berumur 12 hingga 16 tahun mengaku bersalah, manakala lapan lagi berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan 29 April ini untuk mendapatkan laporan akhlak, fakta dan perintah terhadap enam yang mengaku bersalah, manakala bagi lapan lagi, tarikh sama ditetapkan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Kesemua pelajar terbabit dibenarkan diikat jamin RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, dalam prosiding sama, seorang wanita R. Loganayagi, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki di lokasi dan masa kejadian yang sama, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu boleh dihukum dengan pemenjaraan maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 28 April ini untuk serahan dokumen.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, seorang lagi wanita S. Lakshmy, 37, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544842