JASIN, 14 April (Bernama) -- Pemandu bas ekspres lelaki serta seorang wanita yang dipercayai kenalannya akan tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin esok bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian memandu dalam keadaan berbahaya di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di daerah ini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata lelaki berusia 36 tahun itu yang kini berada di Sungai Besi, Kuala Lumpur telah berjaya dihubungi untuk memberi keterangan berkaitan tindakan tersebut yang boleh membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
"Wanita berkenaan yang berada di Kedah pula akan ke Kuala Lumpur malam ini dan kedua-dua mereka akan hadir ke IPD Jasin esok untuk diambil keterangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini tular video berdurasi lapan saat yang dimuat naik di Facebook menunjukkan wanita berkenaan duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan sedang bergerak.
Lee semalam memaklumkan hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada 12 April kira-kira 7.30 malam di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan dan rakaman video kejadian itu dikesan tular pada 13 April kira-kira 5.30 petang.
-- BERNAMA