EKONOMI

Harga MSM Dijangka Kukuh Didorong Permintaan Biodiesel Global 

15/04/2026 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka disokong oleh faktor permintaan yang menggalakkan seperti langkah meningkatkan mandat campuran seperti diumumkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat, kata CGS International Malaysia Sdn Bhd.

Menurut nota penyelidikannya, katanya sokongan itu juga akan didorong oleh mandat B50 Indonesia, yang dijadualkan bermula pada 1 Julai 2026.

"Kami mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi' dalam sektor ini walaupun potensi berakhirnya konflik Asia Barat mungkin menyebabkan harga MSM turun naik.

“Kami terus mengutamakan syarikat di peringkat huluan seperti Ta Ann Holdings Bhd dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd, yang dijangka mencatat harga jualan purata bersih MSM yang lebih kukuh berbanding syarikat yang setara di Indonesia,” katanya.

Inisiatif pengewangan aset bukan teras SD Guthrie Bhd yang sedang dilaksanakan juga boleh memanfaatkan pembayaran dividen daripada potensi hasil, katanya.

Menurut CGS International, pemangkin penarafan semula sektor itu termasuk potensi El Nino dan bekalan MSM yang lebih terhad manakala risiko penurunan merangkumi pertumbuhan pengeluaran minyak sawit dan biji minyak yang lebih tinggi daripada jangkaan serta peningkatan kos input.

Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 April 2026, inventori minyak sawit susut 16 peratus bulan ke bulan pada Mac 2026 kepada paras terendah dalam tempoh tujuh bulan iaitu 2.3 juta tan.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah 45 peratus lebih tinggi tahun ke tahun dan melebihi jangkaan konsensus Bloomberg sebanyak 2.2 juta tan.

Selain itu, menurut CGS International, eksport MSM Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 41 peratus bulan ke bulan dan 54 peratus tahun ke tahun. 

Keadaan ini berlaku berikutan levi eksport yang tinggi sebanyak 12.5 peratus yang dikenakan oleh Indonesia serta permintaan kukuh dari China kerana pembeli mendapatkan bekalan lebih awal sebelum harga dijangka naik susulan konflik Asia Barat yang semakin memuncak.

Menurutnya eksport MSM dijangka menyusut pada April 2026 berikutan lonjakan harga MSM sebanyak 18.8 peratus dari 27 Feb 2026 hingga 31 Mac 2026.

“Harga yang tinggi mungkin menghalang pengimport utama seperti China dan India, yang kami jangka terus berhati-hati dan menangguhkan pembelian sehingga pasaran kembali stabil.

“Bagaimanapun, kami menjangka faktor bermusim yang lebih baik akan meningkatkan hasil tandan buah segar dan MSM pada April 2026, dengan peningkatan output melebihi pertumbuhan eksport dan menyebabkan inventori meningkat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545233