EKONOMI

Peningkatan Mandat Biodiesel B15 Suntik Impak Positif MSM, Syarikat Ladang Bersepadu

15/04/2026 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Langkah kerajaan meningkatkan mandat campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 dijangka menyuntik kesan positif ke atas harga minyak sawit mentah (MSM) serta syarikat perladangan bersepadu yang mempunyai pendedahan terhadap bahan berkenaan, kata CIMB Securities Research.

Menerusi nota penyelidikannya, cabang CIMB itu memaklumkan walaupun langkah itu positif, ini dijangka tidak menjadi pengubah ketara terhadap harga MSM dalam masa terdekat ini.

“Impak itu menjadi lebih bermakna pada tahap campuran lebih tinggi. Sebarang peralihan kepada B15–B30 boleh melonjakkan permintaan minyak sawit secara lebih signifikan sebanyak 380,000 hingga 1.5 juta tan atau 1.8-7.4 peratus daripada bekalan Malaysia,” menurutnya.

CIMB Securities turut memetik laporan mengenai program B10 menggunakan kira-kira 750,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak manakala pelaksanaan awal B12 dianggarkan meningkatkan penggunaan minyak sawit sebanyak 150,000 tan kepada 900,000 tan.

Peningkatan permintaan ini adalah sederhana yang mewakili hanya 0.7 peratus daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi 2025, menurut CIMB Securities.

Pada 2025 misalnya, Malaysia menghasilkan sejumlah 975,207 tan biodiesel dan mengeksport 57,149 tan manakala penggunaan domestik sebanyak 918,058 tan.

Semalam, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 dalam usaha mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis di Asia Barat. 

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih lama selain mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar serta menekankan keperluan mempercepat penstrukturan semula ekonomi menerusi peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB).

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545165