LONDON, 15 April (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Britain Keir Starmer pada Rabu berkata beliau “tidak akan tunduk” kepada tekanan Presiden Amerika Syarikat (AS) susulan cadangan Donald Trump untuk membuka semula rundingan perjanjian perdagangan dengan Britain sebagai sebahagian tekanan terbaharu berkaitan perang Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya tidak akan mengubah pendirian saya. Saya tidak akan tunduk,” kata Starmer semasa sesi Soalan kepada Perdana Menteri secara mingguan di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab soalan Ketua Liberal Demokrat Ed Davey berhubung wawancara Trump dengan Sky News pada Selasa, yang mengancam untuk “membatalkan” perjanjian perdagangan dengan Britain sebagai hukuman kerana tidak menyertai perang terhadap Iran.
Starmer menegaskan semula bahawa United Kingdom (UK) tidak akan terheret ke dalam perang itu kerana ia bukan dalam kepentingan nasional Britain.
“Ia bukan perang kita, dan banyak tekanan telah dikenakan terhadap saya untuk mengambil haluan berbeza, dan tekanan itu termasuk apa yang berlaku malam tadi. Saya tidak akan mengubah pendirian saya,” katanya.
Dalam wawancara itu, Trump menyifatkan dasar imigresen Britain sebagai “tidak masuk akal” dan meluahkan rasa kesal terhadap keadaan “menyedihkan” hubungan istimewa antara AS dan UK.
“Apabila kami memerlukan mereka, mereka tiada. Apabila kami tidak memerlukan mereka, mereka juga tiada. Dan mereka masih tiada,” kata Trump sebagai respons mengenai hubungan dengan UK.
-- BERNAMA-ANADOLU