KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mula melaksanakan penugasan di stesen minyak berisiko tinggi ketirisan bahan api bersubsidi khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Fisol Salleh berkata penugasan berkenaan melibatkan elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama-sama elemen kontinjen enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 36 stesen minyak telah diklasifikasi sebagai hotspot manakala 55 lagi dikenal pasti sebagai lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan yang dipercayai dipengaruhi faktor semasa termasuk krisis tenaga global.
"Atur gerak penugasan ini telah mula dilaksanakan pada 6 pagi tadi… penugasan dilaksanakan secara syif dengan kehadiran pegawai dan anggota PGA serta elemen pengoperasian kontinjen bagi memastikan kawalan berterusan dan berkesan di lokasi-lokasi terlibat," menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata tumpuan penugasan ialah di stesen minyak yang beroperasi dari 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berpotensi tinggi berlakunya aktiviti penyelewengan.
Fisol berkata bagi stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dan penugasan dilaksanakan sepanjang masa.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu PDRM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di sempadan selain memastikan penyaluran bahan api bersubsidi kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
"PDRM akan terus mempertingkatkan keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi,” katanya.
Baru-baru ini, Jemaah Menteri mempersetujui syor menempatkan anggota polis di stesen minyak untuk memperkasakan pemantauan berikutan peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.
la sebagai peluasan kepada penempatan secara statik penguat kuasa KPDN yang dilaksanakan sejak 20 Mac lepas.
-- BERNAMA