KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) --Polis merampas empat senapang angin, sembilan batang paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan beberapa buah buku berkaitan jihad di rumah keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
ASP Cassidy Banta, 42, berkata rampasan itu dilakukan ketika beliau mengetuai pemeriksaan di kediaman keluarga Radin Luqman Radin Imran, 21, di Kampung Sungai Tiram selepas insiden serangan pada 17 Mei 2024 yang mengorbankan dua anggota polis.
Saksi pendakwaan kelima itu berkata sebaik tiba di lokasi, pintu rumah dibuka tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, yang juga bapa kepada penyerang berkenaan.
“Saya kemudian menceritakan kepada penghuni rumah yang merupakan ahli keluarga Radin Luqman berkenaan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram yang dilakukan oleh suspek sehingga menyebabkan kematiannya serta dua lagi anggota polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan pada hari keempat perbicaraan kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram yang berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.
Cassidy berkata pihaknya turut merampas empat telefon bimbit milik tertuduh sebelum dibawa ke sebuah bilik dan menemukan enam buah buku termasuk yang bertajuk “jihad”.
“Di satu bilik lain yang merupakan stor, saya menemui empat senapang angin, sembilan paip PVC dipercayai untuk pembuatan senapang angin panjang dan beg uncang mengandungi 42 biji guli. Saya kemudian menahan semua suspek (lima tertuduh) kerana disyaki terlibat dalam kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata kesemua ahli keluarga yang ditahan bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut sebelum direman bagi membantu siasatan.
Cassidy turut memaklumkan kepada mahkamah mengenai reaksi ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, dan Radin Imran selepas dimaklumkan mengenai kematian anak mereka.
“Rosna mengucapkan ‘Alhamdulillah, baguslah itu’, manakala Radin Imran mengungkapkan kata-kata, ‘Saya cuma kesal kerana dia tidak ajak saya ikut bersama’,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Rosna didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.
Sementara itu, Radin Imran berdepan empat pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.
Abang kepada Radin Luqman, Radin Romyullah, 36, pula didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, manakala dua anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 21, berdepan pertuduhan kerana sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.
Perbicaraan bersambung 27 April ini.
-- BERNAMA