KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Hampir 500 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) beragama Hindu termasuk ahli keluarga mereka menyertai upacara sembahyang khas sempena Hari Polis ke-219 di Kuil Sri Maha Muniswarar di Pusat Latihan Polis di sini malam ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata program itu mencerminkan komitmen pasukan berkenaan dalam memelihara keharmonian serta menghargai kepelbagaian agama dan budaya dalam organisasi.
“Keunikan negara kita Malaysia ialah apa yang kita lihat di sini, iaitu walaupun kita terdiri daripada masyarakat majmuk tetapi perpaduan antara kaum di Malaysia sangat tinggi.
“Perkara yang boleh memastikan kita sama-sama dalam negara kita ini ialah sikap toleransi dan faham antara satu sama lain... walaupun agama rasmi ialah Islam, kerajaan kita tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk mengamalkan kebudayaan, kepercayaan dan agama masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas upacara itu.
Beliau berkata upacara itu, yang memasuki tahun kelima penganjurannya, turut disertai warga PDRM dari Bukit Aman dan sekitar Lembah Klang.
Kumar berkata selain pengisian keagamaan, majlis itu turut menjadi platform bagi menghargai sumbangan, jasa dan pengorbanan anggota beragama Hindu sepanjang berkhidmat dalam pasukan.
Pengiktirafan turut diberikan kepada 15 anak pegawai dan anggota yang cemerlang dalam akademik termasuk Sijil Pelajaran Malaysia, pencapaian di peringkat universiti serta penglibatan dalam bidang sukan.
Beliau berkata warga PDRM daripada agama lain turut mengadakan upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing sebagai sebahagian usaha mengekalkan keharmonian dalam pasukan keselamatan negara itu.
-- BERNAMA