KOTA TINGGI, 19 April (Bernama) -- Dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditemukan maut akibat ditembak di sebuah restoran di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kesemua mangsa berusia lingkungan 37 hingga 63 tahun dan dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira 1.30 tengah hari dan bertindak atas maklumat, kita menahan seorang lelaki tempatan berumur 71 tahun kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada 2 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata pihaknya turut membuat rampasan terhadap senjata buatan Benelli M/Super yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Beliau berkata suspek yang merupakan pekebun, didapati mempunyai tanah pertanian yang melayakkannya memiliki lesen senjata api dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga musuh tanaman dan bukan bagi tujuan lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ab Rahaman berkata motif pembunuhan masih dalam siasatan dan berdasarkan siasatan awal, kejadian yang berlaku tidak mempunyai sebarang isu melibatkan elemen kongsi gelap dan unsur-unsur keganasan.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan berpunca daripada masalah hutang peribadi.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dimohon di Mahkamah Majistret di sini esok, dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lima saat di laman Facebook memaparkan kejadian terbabit.
-- BERNAMA