KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) menyelesaikan terbitan semula sukuk jangka pendek berjumlah AS$1.286 bilion merentasi lima tempoh iaitu dua minggu, dua bulan, tiga bulan, enam bulan dan sembilan bulan.
Menurut penerbit utama dunia bagi instrumen pengurusan kecairan jangka pendek patuh Syariah itu, kelima-lima siri tersebut telah ditawarkan pada harga kompetitif, siri dua minggu berjumlah AS$348 juta dan siri tiga bulan berjumlah AS$350 juta ditawarkan pada kadar 4.00 peratus, manakala siri dua bulan berjumlah AS$339 juta ditawarkan pada kadar 3.95 peratus.
Sementara itu, siri enam bulan berjumlah AS$205 juta dan siri sembilan bulan berjumlah AS$44 juta masing-masing ditawarkan pada kadar 4.10 peratus.
IILM memaklumkan bahawa lelongan tersebut menarik permintaan kukuh daripada pelabur global dengan bidaan mencecah AS$3 bilion, iaitu tahap lebihan langganan sebanyak 2.33 kali ganda yang amat memberangsangkan, sekali gus menunjukkan minat berterusan terhadap instrumen Islam jangka pendek IILM yang berkualiti tinggi walaupun dalam keadaan pasaran tidak menentu.
“Urus niaga hari ini menandakan lelongan sukuk kelapan IILM bagi tahun ini setakat ini, menjadikan jumlah terbitan keseluruhan bagi 2026 kepada AS$9.32 bilion merentasi 37 siri sukuk dengan pelbagai tempoh matang.
“Semua terbitan telah dijalankan di bawah program terbitan sukuk jangka pendek AS$8.5 bilion IILM, diberikan penarafan A-1 oleh S&P Global Ratings dan F1 oleh Fitch Ratings, menurut IILM dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA