JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Ditahan Bersama Lima Laras Senjata Api Di Kuala Krai

20/04/2026 11:58 PM

KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita dan merampas lima laras senjata api pelbagai jenis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak, Kuala Krai hari ini.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan itu dijalankan pada 6.45 petang tadi menerusi Ops Bersepadu Khazanah melibatkan Batalion 8 PGA bersama Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kelantan.

Beliau berkata operasi berkenaan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti menyimpan bahagian hidupan liar yang dilindungi.

“Pasukan serbuan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa sebelum menjalankan pemeriksaan di dalam rumah terbabit. Hasil pemeriksaan, pasukan menemukan lima laras senjata api pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah kesalahan berkaitan Akta Senjata Api 1960 manakala barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547256