AM

Kongres Brussels: Delegasi Malaysia Bawa Mandat Perhebat Tekanan Kekejaman Israel

21/04/2026 06:17 PM

Daripada Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

DUBAI, 21 April (Bernama) -- Delegasi Malaysia ke Global Sumud Parliamentary Congress di Brussels, Belgium membawa mandat untuk meningkatkan tekanan politik antarabangsa terhadap Israel ketika krisis Palestin semakin memuncak dan menuntut tindakan segera komuniti global.

Rombongan itu menggabungkan ahli Parlimen merentas parti, pengamal undang-undang, NGO kemanusiaan serta pengamal media dalam satu pendekatan bersepadu merangkumi diplomasi, advokasi dan tindakan perundangan, sekali gus membuktikan isu Palestin kekal sebagai keutamaan dalam agenda antarabangsa.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby berkata penyertaan Malaysia dalam kongres berkenaan sangat penting pada garis masa kritikal, susulan perkembangan terbaharu yang melibatkan undang-undang hukuman gantung mandatori terhadap ribuan tahanan Palestin di penjara rejim, yang mencetuskan kemarahan dan kebimbangan serius terhadap pelanggaran hak asasi manusia.

“Kita tidak banyak pilihan selain sertai semua medan juang demi membela secara langsung sama ada di aksi advokasi di lautan, darat dan dalam masa sama kita perlu terlibat bersama dunia di pentas yang ada secara aktif termasuk deklarasi Brussels mewakili blok Asia, khususnya Malaysia yang kekal teguh bersama Palestin," katanya kepada Bernama ketika dalam perjalan ke Brussels hari ini.

Beliau berkata kehadiran delegasi Malaysia bersifat unik kerana menghimpunkan representasi menyeluruh, merangkumi gerakan rakyat dan kerajaan termasuk ahli-ahli Parlimen yang membawa mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga penaung Sumud Nusantara ke persidangan yang dijangka menghimpunkan lebih 300 ahli politik dari seluruh dunia.

Sementara itu, Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh berkata kongres itu, bertujuan menterjemahkan tekanan terhadap kekejaman Israel kepada tindakan berstruktur yang mampu mempengaruhi pendirian kuasa besar secara kolektif khususnya blok Eropah, yang kini mula beralih arah menyokong Palestin.

“Jika tekanan hanya bersifat kemanusiaan tanpa dimensi advokasi politik, ia tidak mencukupi. Kita perlu gandakan tekanan melalui platform Parlimen, resolusi antarabangsa serta suara kolektif negara-negara,” katanya.

Global Sumud Parliamentary Congress akan berlangsung esok, seiring dengan pelayaran Global Sumud Flotilla menuju Gaza, yang mewujudkan jendela masa kritikal untuk intervensi politik bermakna, selain menzahirkan keperluan mendesak terhadap kepimpinan politik yang tegas pada peringkat antarabangsa.

Melalui persidangan itu, pemimpin politik global berpeluang memperkukuh perlindungan kemanusiaan secara masa nyata, mempercepat pengiktirafan laluan maritim ke Gaza serta menggerakkan usaha perundangan di negara masing-masing termasuk menghentikan pemindahan senjata.

Kongres sulung Global Sumud itu turut memfokuskan kepada satu deklarasi yang disifatkan sebagai keperluan kemanusiaan segera dan pendirian politik bersejarah, dengan teras utama menyeru penubuhan koridor maritim kemanusiaan ke Gaza yang disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berlandaskan undang-undang antarabangsa.

Penyertaan Malaysia dalam kongres itu dilihat sebagai langkah strategik untuk menyertai blok ahli Parlimen global, termasuk dari Eropah dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam merangka resolusi serta Deklarasi Brussels yang sinonim menjadi rujukan penting pada peringkat antarabangsa.

Delegasi negara turut disertai ahli kaukus Palestin di Parlimen Malaysia antaranya Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman.

Ia juga melibatkan kumpulan perunding kemanusiaan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia serta Gagasan MyAqsa Defender, penasihat dan pakar undang-undang dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) serta pengamal media TV AlHijrah dan Bernama.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547581