PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Sebanyak 105 petugas kesihatan telah diberikan pemangkuan dan 38 lagi dinaikkan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu berdasarkan prestasi, dedikasi dan sumbangan besar mereka terhadap perkhidmatan kesihatan negara.
“Urusan ini melibatkan pelbagai skim perkhidmatan dan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan kekosongan jawatan serta keperluan perkhidmatan.
“Langkah ini selaras dengan usaha KKM untuk memantapkan kepimpinan organisasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat kekal cekap dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Pengiktirafan itu juga mencerminkan komitmen KKM dalam menyediakan laluan kerjaya yang telus dan berasaskan merit.
“KKM akan terus menambah baik langkah sedia ada bagi memastikan kebajikan dan pembangunan profesional warga kerja sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA