AM

Kerajaan Perkukuh Sektor Pelancongan, Sasar Semula Pasaran Lebih Stabil - Akmal Nasrullah

21/04/2026 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kerajaan akan memperkukuh sektor pelancongan dengan menyasar semula pasaran yang lebih stabil bagi mengekalkan aliran pelawat dan pendapatan negara susulan krisis bekalan global yang menjejaskan perjalanan udara dari Asia Barat.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata berkata langkah itu dipersetujui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan daya tahan sektor berkenaan terus terpelihara dalam persekitaran global yang tidak menentu dan antara pasaran yang menjadi sasaran termasuk ASEAN, Australia, India serta Asia Timur meliputi China, Jepun dan Korea.

"Dalam keadaan krisis bekalan global yang masih berlarutan, sektor pelancongan bukan sekadar soal menambah jumlah pelawat, tetapi penting untuk menjana pendapatan tukaran asing negara dan membantu mengimbangi tekanan luaran yang sedang kita hadapi," katanya pada taklimat krisis bekalan global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan hari ini.

 Akmal Nasrullah berkata dalam tempoh sebulan selepas krisis bermula, sebanyak 288 penerbangan dari Asia Barat ke Malaysia dibatalkan, melibatkan 88,438 tempat duduk, namun segmen itu menyumbang kurang satu peratus daripada jumlah ketibaan pelancong ke negara ini.

Beliau berkata Tourism Malaysia memaklumkan pada 2025 ketibaan pelawat dari China mencecah 4.7 juta, meningkat 25.1 peratus tahun ke tahun, manakala setakat Februari 2026 terdapat kira-kira 871 penerbangan mingguan merentasi 30 bandar di negara itu dengan kapasiti 170,862 tempat duduk.

Akmal Nasrullah berkata strategi untuk meningkatkan kedatangan pelancong perlu menekankan kepada kelebihan Malaysia sebagai destinasi yang stabil, mudah diakses, mempunyai sistem pengangkutan yang baik serta bekalan tenaga domestik mencukupi bagi menyokong pengalaman pelancongan.

"Yang lebih penting, manfaat pelancongan tidak terhenti pada hotel dan syarikat penerbangan sahaja. Apabila pelancong datang dan berbelanja, kesannya akan turut dirasai oleh pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengangkutan tempatan, restoran, penjaja, peruncit, pengusaha kraftangan dan pelbagai perusahaan kecil lain.

"Inilah limpahan ekonomi yang penting untuk memastikan industri kecil terus hidup dan ekonomi setempat terus bergerak. Sebab itu, memperkukuh sektor pelancongan dalam waktu ini bukan sekadar soal promosi, tetapi soal memastikan lebih banyak perniagaan tempatan terus bertahan dan lebih ramai rakyat terus mempunyai sumber pendapatan," katanya.

Beliau berkata Kempen Melawat Malaysia 2026 turut dilanjutkan hingga 2027 bagi memberi ruang kepada pasaran pelancongan antarabangsa pulih, dengan sasaran 47 juta pelawat asing serta RM329 bilion pendapatan pelancongan.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547741