AM

Boustead Perkukuh Kerjasama Strategik Merentas Sektor Kewangan, Alam Sekitar

21/04/2026 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 April  (Bernama) -- Boustead Holdings Bhd (Boustead) hari ini memeterai tiga perjanjian kerjasama strategik untuk memperkukuh peranannya dalam menyokong ekosistem pertahanan Malaysia dan landskap perindustrian yang lebih luas.

Boustead, syarikat pegangan pelaburan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut di Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026) yang berlangsung dari 20 hingga 23 April.

MoU pertama ditandatangani dengan Affin Islamic Bank Bhd untuk memajukan kerjasama kewangan merentasi ekosistem perniagaannya, manakala MOU kedua bersama MS Waste Management Sdn Bhd (MS Waste) bagi pengurusan sisa terjadual dan penyelesaian alam sekitar dan yang ketiga bersama Netcom X Sdn Bhd (Netcom X) untuk menyokong pembangunan telekomunikasi pertahanan dan infrastruktur digital.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan untuk memperkukuh ekosistem yang menyokong operasi dan pemegang kepentingannya.

"Daripada mengupayakan akses kepada penyelesaian kewangan kepada melaksanakan tanggungjawab melindungi alam sekitar dan memperkukuh infrastruktur digital, setiap perkongsian memainkan peranan dalam meningkatkan daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu terus menumpu menyediakan kerjasama strategik dan berstruktur yang menyokong keutamaan negara di samping mengukuhkan pertumbuhan mampan merentasi segmen perniagaannya.

MoU itu ditandatangani oleh Ahmad Sabirin mewakili Boustead bersama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Pengerusi MS Waste Datuk Abdul Rahman Abdul Rahim dan Pengerusi Netcom X Mejar Jeneral Datuk T. Azharan T. Putra (B).

Majlis permeteraian yang diadakan di Pavilion Boustead itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad Sabirin berkata kerjasama dengan Affin memberi tumpuan kepada memudahkan penyelesaian kewangan merentasi rangkaian Boustead, termasuk penilaian keperluan pembiayaan, sokongan perbankan dan potensi penglibatan berasaskan projek untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Kerjasama dengan MS Waste pula akan meneroka peluang dalam pengurusan sisa terjadual, pemuliharaan alam sekitar, menyokong amalan lestari merentasi bidang berkaitan pertahanan dan perindustrian.

Sementara itu, kerjasama dengan Netcom X akan mewujudkan rangka kerja strategik untuk bersama-sama menyertai projek infrastruktur telekomunikasi dan jalur lebar bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk bidang seperti penggunaan rangkaian, integrasi dan pembangunan infrastruktur jangka panjang.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547758