JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Pelbagai Barangan Bernilai RM32.23 Juta

21/04/2026 10:02 PM

KUCHING, 21 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatatkan 27 kejayaan menerusi operasi dijalankan dalam tempoh 1 hingga 20 April lepas di beberapa lokasi di Sarawak, dengan jumlah rampasan bernilai RM32.23 juta.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata kejayaan operasi itu melibatkan kawasan Kuching, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Miri.

“Antara kejayaan utama direkodkan termasuk rampasan berskala besar menerusi Ops Taring Chiller yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi berjumlah RM21.3 juta dan Ops Taring Bravo (RM7.36 juta).

“Operasi turut memberi tumpuan kepada kes penyelewengan minyak diesel dan barangan kawalan, selain menumpaskan aktiviti penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit dalam kuantiti besar,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata PGA Briged Sarawak turut melaksanakan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac, yang memberi tumpuan kepada pembanterasan ketirisan dan penyelewengan barang kawalan khususnya diesel.

“Sehingga kini, sebanyak 264 pemeriksaan telah dilaksanakan dengan 31 kes dikesan, melibatkan rampasan kira-kira RM13.5 juta serta tangkapan seramai 45 individu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547770