DUNIA

Trump Lanjutkan Gencatan Senjata Dengan Iran, Kekalkan Sekatan Laut

22/04/2026 09:19 AM

WASHINGTON, 22 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Selasa bahawa Washington akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran bagi memberi masa kepada Tehran menyediakan “cadangan yang diselaraskan” susulan permintaan pegawai Pakistan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata AS diminta oleh Panglima Tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif supaya menangguhkan tindakan ketenteraan terhadap Iran sehingga pemimpin negara itu dapat “mengemukakan cadangan yang diselaraskan”.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan tentera kami untuk meneruskan sekatan laut dan, dalam semua aspek lain, kekal bersedia serta berkeupayaan, dan oleh itu akan melanjutkan gencatan senjata sehingga cadangan mereka dikemukakan dan perbincangan dimuktamadkan, dalam apa juga cara sekalipun,” katanya. 

Trump turut mendakwa dalam hantaran itu bahawa kepimpinan Iran kini dilanda perpecahan yang serius.

Pengumuman itu dibuat ketika delegasi AS yang diketuai Naib Presiden JD Vance dijangka berlepas ke Islamabad pada Selasa bagi pusingan kedua rundingan dengan Iran, namun lawatan itu ditangguhkan susulan mesyuarat lanjut mengenai dasar di Rumah Putih, menurut pegawai AS.

Gencatan senjata yang pada awalnya diumumkan awal bulan ini dijadual tamat pada Rabu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547858