PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan tular di media sosial oleh seorang individu berkaitan dakwaan bahawa jabatan berkenaan memohon bantuan untuk penempatan kanak-kanak di bawah jagaannya.
JKM dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa tuduhan berkenaan adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan orang awam terhadap fungsi jabatan itu dan prosedur penempatan kanak-kanak di bawah undang-undang.
"Berdasarkan rekod, JKM menegaskan bahawa tiada penempatan rasmi kanak-kanak kepada individu berkenaan pada 2020 seperti yang didakwa," menurut kenyataan itu.
Menurut JKM, penjagaan kanak-kanak tersebut merupakan pengaturan persendirian antara ibu kandung dengan individu terbabit tanpa penglibatan JKM.
Jabatan itu memaklumkan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya menerima rujukan kes berkenaan pada 29 April 2022 bagi tujuan khidmat nasihat berkaitan status penjagaan serta dokumentasi.
Susulan itu, JKM melalui pelindung telah menjalankan siasatan dan penilaian menyeluruh selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak serta peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
JKM turut menjelaskan bahawa pada 3 Ogos 2022, Mahkamah bagi Kanak-Kanak telah mengeluarkan perintah di bawah perenggan 30(1)(b) dan subseksyen 30(8) Akta 611 kepada individu berkenaan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur 18 tahun.
Perintah itu, menurut JKM, dikeluarkan selepas mahkamah mengambil kira Surat Akuan Bersumpah (SD) persetujuan penyerahan kanak-kanak oleh ibu kandung serta persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.
Sehubungan dengan itu, JKM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap fungsi jabatan berkenaan serta kesejahteraan kanak-kanak yang terlibat.
"JKM sentiasa memastikan setiap kes yang dirujuk dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA