Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan sentimen yang lebih baik berhubung jangkaan rundingan semula antara Amerika Syarikat dan Iran walaupun Wall Street semalaman yang lemah.
Pada 9.13 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.09 mata kepada 1,719.42 daripada 1,715.33 pada penutupan Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.67 mata lebih tinggi kepada 1,718.00.
Pasaran secara keseluruhan positif dengan 281 kaunter untung mengatasi 181 kaunter rugi, manakala 342 kaunter tidak berubah, 1,955 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 278.78 juta saham bernilai RM166.50 juta.
Ketua penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata Wall Street ditutup lebih rendah secara meluas apabila wujud kebimbangan mengenai gencatan senjata yang bakal berakhir lewat hari ini.
“Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan telah melanjutkan gencatan senjata untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
“Seiring dengan ketidakpastian itu, harga minyak mentah melonjak semula dengan minyak mentah Brent menghampiri paras AS$99 setong,” katanya kepada Bernama.
Yee berkata FBM KLCI dijangka berlegar dalam julat 1,710-1,730, hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank naik dua sen masing-masing kepada RM11.38 dan RM4.82, Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM14.58, CIMB Group menambah empat sen kepada RM7.84 dan IHH Healthcare menokok empat sen kepada RM8.78.
Bagi saham paling aktif, Perdana Petroleum dan Top Glove menambah 1.5 sen masing-masing kepada 18 sen dan 73 sen, manakala VS Industry dan Zetrix AI melonjak satu sen masing-masing kepada 21.5 sen dan 90.5 sen, bagaimanapun NexG tidak berubah pada 30.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle naik 28 sen kepada RM98.30, Kuala Lumpur Kepong menambah 26 sen kepada RM20.86, Petronas Dagangan menokok 26 sen kepada RM20.26, United Plantations meningkat 18 sen kepda RM33.80 dan Allianz Malaysia menambah 14 sen kepada RM21.04.
Kaunter paling rugi pula, Malaysian Pacific Industries merosot 40 sen kepada RM36.20 dan Sunway Construction berkurangan enam sen kepada RM6.97, manakala JCBNext, Go Hub Capital dan Ajinomoto susut empat sen masing-masing kepada RM1.66, RM1.00 dan RM12.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 25.79 mata kepada 12,509.10, Indeks FBM Emas menambah 26.49 mata kepada 12,674.57, Indeks FBM Mid 70 naik 19.90 mata kepada 17,870.94, Indeks FBM Emas Syariah menokok 20.82 mata kepada 12,492.95 dan Indeks FBM ACE melonjak 2.14 mata kepada 4,622.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 50.19 mata kepada 20.374.75, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.30 mata kepada 185.47 dan Indeks Tenaga melonjak 7.34 mata kepada 815.68 dan Indeks Perladangan naik 27.50 kepada 8,864.38.
-- BERNAMA