KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kelihatan seperti set rantai besi biasa yang dipamerkan di satu daripada reruai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, namun ia tetap mencuri perhatian pengunjung kerana fungsinya yang bersesuaian dengan keadaan muka bumi dan cuaca di Malaysia .
Pengeluar rantai berpangkalan di Austria, Pewag, mengunakan platform berkenaan untuk menjadikan Malaysia dan Asia Tenggara sebagai pasaran utama, khususnya bagi rantai cengkaman yang direka untuk operasi pertahanan di kawasan berlumpur dan off-road.
Ketua Jualan Antarabangsanya (Rantai Cengkalaman) Martin Baumgartner memberitahu Bernama penyertaan syarikatnya di DSA bagi memperkenalkan produk mereka kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sambil meneroka peluang untuk tujuan pengujian.
Pewag ialah pengeluar rantai yang membekalkan pelbagai jenis rantai salji dan rantai cengkaman, selain rantai teknikal seperti rantai pengangkat, titik pengangkat, rantai pengikat, dan rantai perlindungan tayar.
Produk berkenaan direka bagi menyokong kenderaan tahan lasak, logistik dan kenderaan pertahanan yang beroperasi dalam situasi mencabar.
Baumgartner berkata rantai cengkaman Pewag diperbuat daripada keluli aloi dan melalui proses rawatan haba bagi meningkatkan ketahanan dalam keadaan ekstrem, khususnya di kawasan berlumpur yang lazim terdapat di rantau tropika.
“Rantai ini dipasang sedikit longgar pada tayar…ia membersihkan bunga tayar dan memastikan bunga tayar tersebut sentiasa sedia untuk cengkaman,” katanya, sambil menambah bahawa palang cengkaman yang tertanam pada rantai mampu meningkatkan cengkaman di kawasan berlumpur hingga 30 peratus.
Beliau menyifatkan Malaysia sebagai pintu masuk utama bagi pasaran Asia Tenggara, dengan mengambil kira cabaran bentuk muka bumi yang serupa di seluruh rantau ini.
Baumgartner berkata minat mendalam turut ditunjukkan beberapa negara lain yang menyertai DSA kali ini.
“Bagi kami, Asia Tenggara, khususnya Malaysia merupakan pasaran yang sangat penting. Bukan hanya Malaysia, terdapat minat dan perbicangan turut diadakan dengan negara lain sepanjang DSA, sekali gus menunjukkan potensi besar rantau ini,” katanya.
Beliau berkata rangkaian rantai cengkaman syarikat itu yang mengabungkan palang tahan lasak, menjadikan ia lebih tahan haus, tahan lama dan mengekalkan prestasi pemanduan yang stabil pada kelajuan tinggi.
Rantai ini direka untuk persekitaran mencabar, tahan dalam keadaan ekstrem dan lebih ringan bagi membolehkan ia mudah dikendalikan serta disimpan.
-- BERNAMA