GAYA HIDUP

SPM Kurang Cemerlang, Usahawan Buktikan TVET Bantu Ubah Masa Depan

22/04/2026 05:53 PM

Oleh Siti Nur Athirah Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pernah dilabel sebagai “tiada masa depan” susulan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memberangsangkan, seorang anak muda dari Ampang, Selangor membuktikan sebaliknya apabila berjaya menempa nama sebagai usahawan dalam bidang kemahiran.

Pada usia 25 tahun, Noor Azree Aiman Noor Azrin mengusahakan perniagaan pembaikan telefon pintar, FiXpress Melawati KL, yang bukan sahaja menjana pendapatan lumayan, malah membuka peluang pekerjaan buat orang lain.

Perjalanan anak sulung daripada tiga beradik ini  bermula dengan dorongan ibunya yang mencadangkan agar beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), satu keputusan yang akhirnya mengubah haluan hidupnya.

“Saya sebenarnya meminati jurusan multimedia tetapi keputusan SPM tidak melayakkan permohonan ke universiti awam. Jadi, emak cadangkan saya sambung di kolej komuniti ambil TVET dan saya memilih kos yang melibatkan komputer dan teknologi.

pic-2

“Walaupun bukan jurusan multimedia, bagi saya ia masih lagi dalam dunia teknologi. Saya melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Ampang dalam jurusan Diploma Teknologi Mudah Alih, ” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Kini memiliki empat pekerja termasuk seorang pelatih industri sejak memulakan perniagaan itu pada Februari lepas, Noor Azree mengakui tidak menyangka bidang TVET yang sering dipandang rendah sebenarnya mampu menawarkan masa depan cerah.

Kesedaran itu timbul ketika beliau menjalani latihan industri apabila diberi peluang menjana jualan mencecah ratusan ribu ringgit hasil kemahiran dimiliki, sekali gus mendorongnya menceburi bidang berkenaan secara serius.

“Selepas habis belajar, saya bermula dengan modal RM1,500. Awalnya, saya dan tiga rakan terpaksa menjalankan perkhidmatan dari rumah ke rumah dan hanya meraih pendapatan sekitar RM200 seorang.

“Kami terus berusaha dan menggunakan media sosial untuk promosi perniagaan. Media sosial sangat membantu dan kini kami mampu menikmati pendapatan selesa dan memiliki premis sendiri,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama-sama dengan rakannya. 

Antara pencapaiannya termasuk menerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2025.

Namun, kejayaan itu tidak menjadikan Noor Azree leka, sebaliknya terus tekad membantu golongan belia yang ingin membina masa depan dalam bidang kemahiran.

pic-3

Dengan kemahiran dimiliki, Noor Azree kini bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem TVET.

“TVET bukan sahaja beri saya kemahiran tetapi juga peluang untuk bantu orang lain.

“Saya juga pernah dijemput sebagai penceramah bagi segmen Advanced TVET and Entrepreneurship bersempena dengan Putrajaya Festival Idea 2025 serta program e-dagang dan pendigitalan di Politeknik Shah Alam untuk berkongsi ilmu,” katanya.

pic-4

Dalam pada itu, beliau berkata dorongan keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan serta bimbingan mentor ketika latihan industri menjadi antara faktor utama kejayaannya.

Mengulas lanjut, Noor Azree menyifatkan TVET sebagai laluan penting untuk generasi muda yang kurang cemerlang dalam akademik kerana bidang kemahiran mempunyai permintaan tinggi dan kekal relevan.

“Nasihat saya kepada pelajar, jangan takut gagal. Cuba dan terus belajar. Kalau akademik bukan kekuatan kita, kemahiran adalah jalan untuk berjaya kerana kemahiran boleh bawa kita ke mana-mana.Yang penting fokus dan mahir dalam satu bidang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547909