AM

TH Buat Persiapan Rapi, Pastikan Jemaah Malaysia Fokus Sepenuhnya Ibadah

23/04/2026 07:07 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 23 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) melakukan persiapan rapi dan menyeluruh bagi Operasi Haji 1447/2026 ini, untuk membolehkan jemaah haji Malaysia menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata segala aspek utama termasuk penginapan, logistik dan keperluan harian jemaah, diurus secara sistematik dan teratur.

Beliau berkata apabila semua keperluan asas diurus dengan baik,  jemaah haji tidak perlu berasa risau dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menunaikan rukun Islam kelima.

“TH bersama penyedia perkhidmatan tempatan bersungguh-sungguh untuk memastikan kebajikan serta keperluan jemaah terjamin, supaya mereka boleh fokus sepenuhnya kepada ibadah,” katanya selepas menghadiri majlis Taaruf Operasi Haji 2026 di sini, hari ini.

Majlis taaruf itu merupakan program kerjasama antara TH dan Holiday Inn Bakkah, yang julung kali  dilantik sebagai pengendali tempatan untuk memastikan kelancaran ibadah haji pada tahun ini.

Operasi Haji 1447/2026 bermula secara rasmi pada 18 April, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548533