AM

Jalan Pintas Muar–Tangkak–Segamat Dijangka Siap Februari 2027

22/04/2026 11:21 AM

JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Projek jalan pintas yang menghubungkan tiga daerah, iaitu Muar, Tangkak dan Segamat dengan anggaran kos RM183 juta dijangka siap pada Februari 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek berkenaan kini agak mendahului jadual apabila mencapai kemajuan 72.19 peratus setakat Mac 2026.

Beliau berkata kerja-kerja naik taraf laluan yang turut menghubungkan Kolej Matrikulasi Tangkak ke Kawasan Perindustrian Tangkak itu berjalan dengan lancar, aktif dan terancang tanpa sebarang isu besar yang menjejaskan kemajuan keseluruhan projek.

“Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 8.1 kilometer dengan empat lorong dua hala, enam persimpangan berlampu isyarat serta empat jambatan termasuk merentasi Lebuh Raya Utara–Selatan (PLUS).

“Ia turut dilengkapi dengan kemudahan sokongan seperti sistem perparitan, lampu jalan dan kerja-kerja pengalihan utiliti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata kerja-kerja utama termasuk pembinaan struktur jambatan, kerja tanah dan turapan jalan kini dilaksanakan secara serentak.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547916