AM

Akta Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam 2025 Perluas Skop Perkhidmatan, Perkukuh Akses Keadilan 

22/04/2026 07:23 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Skop khidmat bantuan guaman di bawah Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 diperluas merangkumi bidang sivil, syariah serta jenayah termasuk perburuhan, perlindungan pengguna dan hal kekeluargaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia memfokus kepada golongan rentan termasuk orang kurang upaya serta meluaskan skop khidmat pendamping guaman kepada kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan.

“Selain itu, khidmat bantuan guaman jenayah kini disediakan secara menyeluruh daripada fasa tangkapan hingga rayuan termasuk proses bicara, permohonan reman dan ikat jamin.

“Manfaatnya jelas, iaitu rakyat khususnya golongan rentan mendapat pembelaan yang adil tanpa beban kos tinggi dengan hak dilindungi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau turut berkesempatan melawat dan merasmikan ruang pejabat pembelaan awam di bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Presint 3 di sini yang telah siap sepenuhnya.

Azalina berkata ia satu lagi ikhtiar penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuh akses kepada keadilan yang inklusif, mudah diakses dan benar-benar dirasai oleh semua rakyat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548174