JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Maut Di Kota Bharu: Seorang Ditahan, Polis Klasifikasikan Sebagai Kes Bunuh

22/04/2026 08:59 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di kepala, dalam satu kejadian di sebuah kediaman di Kampung Masjid Baung Bayam, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejadian berlaku pada 11.30 pagi itu, apabila mangsa dipercayai mengalami kecederaan secara tiba-tiba tanpa sebarang perselisihan faham atau pertengkaran.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ahli keluarga ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal, sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

“Mangsa ditempatkan di zon merah dan diberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan sebelum dimasukkan ke wad. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang semalam ketika menerima rawatan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan daya tumpul pada bahagian kepala, yang menyebabkan keretakan tengkorak serta pendarahan dalam otak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang bentuk keganasan yang mengakibatkan kecederaan serius atau kematian merupakan kesalahan berat di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548197