JENAYAH & MAHKAMAH

LIG Nex1 Meterai LOA Bekal Sistem Peluru Berpandu Untuk LMS Kelompok Kedua

22/04/2026 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Syarikat pertahanan Korea Selatan, LIG Nex1 memeterai Surat Perjanjian (LOA) dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membekalkan sistem peluru berpandu permukaan ke udara bagi projek kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua.

LOA berkenaan melibatkan penyepaduan sistem peluru berpandu HAEGUNG (Sea Bow) pada kapal yang dibina di Turkiye, sekali gus menandakan satu anjakan terhadap TLDM.

Ketua Pejabat LIG Nex1 Malaysia Daniel Lee berkata perjanjian berkenaan mencerminkan keyakinan TLDM terhadap keupayaan teknologi syarikat terbabit dan kerjasama yang sekian lama terjalin.

“TLDM mengiktiraf prestasi dan teknologi kami. Kami telah membina hubungan kepercayaan yang kukuh sepanjang tujuh tahun ini,” katanya kepada Bernama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Kementerian Pertahanan memeterai 24 kontrak dan Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM3.54 bilion pada pameran terbabit.

Lee berkata perbincangan dengan syarikat pembina kapal dari Turkiye, STM telah berlangsung secara berterusan bagi memastikan penyepaduan sistem itu berjalan lancar mengikut jadual projek.  

Perjanjian berkenaan, katanya selari dengan rancangan LIG Nex1 untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan strategik serantau di Asia Tenggara. 

“Berbanding dengan lokasi lain, Malaysia memiliki kelebihan dari segi kedudukan geografi dan hubungan diplomatik,” katanya sambil menambah politik dan ekonomi Malaysia yang stabil, memiliki tenaga kerja mahir dan ekosistem aeroangkasa yang kukuh menjadikannya hab yang sesuai untuk pasaran ASEAN.

Beliau berkata syarikat berkenaan sedang meneroka peluang usaha sama dengan rakan kongsi tempatan bermula dengan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum berkembang kepada pemasangan tempatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548201