AM

Kelantan Peruntuk RM1 Juta Perkasa Usahawan Menerusi Skim Kredit Mikro

22/04/2026 10:02 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan dana RM1 juta menerusi skim kredit mikro bagi memperkasakan usahawan tempatan di tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan kepada industri kecil dan sederhana (IKS), khususnya usahawan yang berdepan kekangan mendapatkan kemudahan melalui saluran perbankan konvensional.

"Ia satu intervensi strategik berimpak tinggi berteraskan konsep qard (pinjaman tanpa faedah) yang menawarkan pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik yang fleksibel antara tiga hingga lima tahun. 

"Dengan pendekatan yang lebih anjal dan mesra usahawan, skim ini membuka ruang kepada mereka yang kekurangan dokumen kewangan, berpendapatan tidak tetap serta tidak mempunyai cagaran," katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau berkata satu sesi taklimat telah diadakan pada 6 April melibatkan Pusat Khidmat DUN bagi memastikan kefahaman yang menyeluruh serta penyelarasan yang berkesan di peringkat pelaksanaan.

Mengenai prestasi awal skim ini, Mohamed Fadzli berkata institusi kewangan yang terlibat melaporkan pencapaian kutipan bayaran balik sebanyak 100 peratus bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan hampir RM150,000 untuk menaja sebanyak 900 penerima di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh selama 12 bulan. 

Katanya inisiatif ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam memperluas perlindungan sosial kepada golongan usahawan mikro agar lebih terlindung, berdaya tahan dan bersedia menghadapi sebarang risiko ketika menjalankan aktiviti ekonomi.

--  BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548216