AM

Tiada Pembinaan Baharu, Perluasan RIBI Di Tanah Kerajaan Di Wilayah Persekutuan Mulai Hari Ini

23/04/2026 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Tiada pembinaan baharu atau perluasan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di atas tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan dibenarkan mulai hari ini, dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang pelanggaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata arahan itu bertujuan untuk mengelakkan kes pencerobohan baharu serta perluasan struktur sedia ada tanpa kebenaran.

“Bermula hari ini, bagi mengelakkan kes pencerobohan baharu dan perluasan struktur (RIBI) sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, tiada pembinaan atau penambahan akan dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan akan dilaksanakan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.

“Semua tindakan akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh hormat dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa RIBI Wilayah Persekutuan yang dipengerusikannya Selasa lepas.

Hannah berkata terma rujukan mesyuarat itu turut diperkemas dengan penglibatan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) bagi memperkukuh proses perbincangan dan penyelesaian.

“Kerajaan MADANI mengamalkan pendekatan yang tersusun, berhemah dan adil dalam menangani perkara ini dengan mengambil kira keperluan masyarakat serta kerangka perundangan sedia ada,” katanya.

Bagi menyokong usaha tersebut, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membangunkan pemetaan RIBI tanpa kebenaran mengikut kawasan Parlimen, dengan sebanyak 163 struktur dikenal pasti setakat ini di atas tanah kerajaan.

Selain itu, Hannah berkata mesyuarat juga bersetuju untuk mewujudkan 11 jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimens di kawasan masing-masing bagi mengetuai perbincangan bersama pihak berkepentingan, termasuk MCCBCHST.

Dalam masa sama, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperhalusi garis panduan pengurusan RIBI bagi memastikan pendekatan yang lebih selaras dan teratur di seluruh negara. 

“Saya percaya pendekatan yang inklusif dan berhemah ini akan membolehkan setiap isu dapat diselesaikan dengan baik, sekali gus mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di Wilayah Persekutuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548519