AM

Alpha Story Raih Lima Pelanggan Utama, Cerminkan Pertumbuhan Pesat Pada Suku Pertama 2026

23/04/2026 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Agensi perhubungan awam dan komunikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), Alpha Story, memperoleh lima pelanggan utama pada suku pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan pertumbuhan pesatnya serta peralihan ke arah strategi komunikasi dipacu data.

 Pelanggan berkenaan terdiri daripada Audi Malaysia (PHS Automotive Malaysia), Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Agoda, University of Reading Malaysia serta GoRental Global.

Menerusi kenyataan hari ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Alpha Story Jeremy Foo berkata kejayaan berkenaan memperlihatkan peningkatan permintaan terhadap pendekatan komunikasi yang lebih pintar dan berpandukan cerapan dalam persekitaran pasaran yang semakin kompleks.

“Seiring komunikasi beralih daripada pendekatan berasaskan kuantiti kepada strategi yang berteraskan ketepatan, pendekatan kami membolehkan organisasi bertindak dengan lebih pantas, berkomunikasi dengan lebih jelas serta menumpukan usaha terhadap perkara yang memberikan impak paling besar. 

“Fokus kami bukan sekadar membantu jenama bertindak lebih pantas tetapi juga berkomunikasi dengan lebih bijak. Kejayaan ini menunjukkan kepercayaan oleh organisasi terkemuka terhadap pendekatan kerja baharu yang menggabungkan pertimbangan manusia dengan AI bagi menghasilkan pemikiran lebih tajam, tindak balas lebih pantas serta penceritaan yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata model operasi agensi terbabit menggabungkan kepakaran komunikasi dengan AI, data masa nyata serta analitik bagi menyampaikan mesej lebih tertumpu kepada sasaran serta memperbaiki keberkesanan keterlibatan.

 “Agoda memperkukuh Alpha Story dalam segmen pelancongan dan jenama digital berorientasikan pengguna manakala University of Reading Malaysia mempertingkatkan portfolionya dalam bidang pendidikan melalui institusi yang mempunyai reputasi global,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kolaborasi dengan PHS Automotive Malaysia dan VPCM pula mengukuhkan lagi kedudukan dalam sektor automotif sekali gus mencerminkan keyakinan oleh jenama antarabangsa yang telah mantap.

Perjanjian Alpha Story dengan GoRental Global di seluruh Malaysia dan Singapura yang diperbaharui untuk dua tahun lagi mencerminkan kekuatan perkongsian yang dibina atas pertumbuhan mampan dan momentum serantau dalam ruang teknologi iklim.

Seiring momentum berkenaan, agensi itu turut merancang memasuki pasaran Indonesia pada suku kedua tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluas model komunikasi berasaskan AI di seluruh rantau ini.

Alpha Story yang beroperasi di Malaysia dan Singapura pada masa ini menyokong lebih 150 pelanggan melalui aliran kerja berasaskan AI serta proses berteraskan penyelidikan yang membolehkan mesej disampaikan dengan lebih tepat, keputusan dibuat lebih pantas serta impak naratif lebih kukuh, sekali gus membantu pelanggan menjangka perubahan, mengenal pasti peluang dan melaksanakan strategi dengan lebih fokus.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548526