KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- GWM Malaysia mencatatkan prestasi yang berdaya tahan pada suku pertama 2026 dengan penyerahan sebanyak 1,294 unit, walaupun beroperasi dalam landskap pasaran automotif yang lebih sederhana.
Syarikat itu memaklumkan ia mengekalkan kedudukannya dalam kalangan 15 jenama automotif teratas di Malaysia, disokong oleh permintaan berterusan untuk kenderaan hibrid, hibrid plug-in dan kenderaan elektrik (EV).
"Walaupun aktiviti pasaran keseluruhan menunjukkan penyederhanaan sepanjang suku itu, tetapi permintaan terus beralih ke arah segmen kenderaan hibrid, hibrid plug-in dan EV, yang mana GWM secara konsisten mengukuhkan kehadirannya," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat itu menambah prestasi menunjukkan peningkatan secara berperingkat sepanjang suku itu, dengan Mac menunjukkan keputusan yang lebih kukuh mencerminkan sentimen pengguna yang semakin stabil dan minat berterusan terhadap rangkaian produknya.
Menurut GWM Malaysia, kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) WEY G9 Hi4 mengekalkan momentum kukuh selepas pelancarannya dan muncul sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah China nombor satu di Malaysia pada suku pertama 2026.
"Sejak diperkenalkan, model itu telah menetapkan penanda aras baharu dalam segmennya, sekali gus mengukuhkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian hibrid plug-in yang menggabungkan keupayaan pemanduan elektrik dengan fleksibiliti perjalanan jarak jauh.
"Sebagai model pertama yang memperkenalkan sistem hibrid pintar Hi4 GWM di Malaysia, ia juga menandakan hala tuju jangka panjang jenama tersebut dalam elektrifikasi dan pengurusan tenaga pintar," tambahnya.
HAVAL H6 HEV juga kekal sebagai penyumbang utama, mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu model hibrid paling laris di Malaysia pada 2025, di mana ia menduduki tempat kedua dalam segmen tersebut dengan pegangan pasaran sebanyak 14.9 peratus.
GWM Malaysia juga memaklumkan TANK 300 mengukuhkan kehadirannya dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) berorientasikan gaya hidup dan lasak, manakala TANK 500 meluaskan pengaruhnya dalam kategori SUV premium, di samping ORA Good Cat yang terus menjadi pilihan EV mudah milik, terutamanya dalam kalangan pengguna bandar.
Pengarah Urusan GWM Malaysia Cui Anqi berkata syarikat itu kekal fokus dalam menawarkan penyelesaian mobiliti yang praktikal dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan sebenar pelanggan.
"Prestasi kami mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap jenama ini, disokong oleh portfolio produk yang seimbang serta komitmen berterusan terhadap nilai jangka panjang,” katanya.
Melangkah ke hadapan, syarikat itu menyatakan momentum dijangka diperkukuh melalui aktiviti produk akan datang, termasuk pelancaran TANK 300 HEV, serta meningkatkan keterlihatan jenama menerusi acara-acara industri.
Bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya, GWM Malaysia akan terus memberi keutamaan kepada peluasan rangkaian pengedar, penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan serta inisiatif penglibatan pelanggan, dilengkapkan dengan program jualan yang bersasar.
Ia menambah syarikat menyasarkan untuk memperluaskan rangkaiannya kepada 60 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2026 daripada 39 cawangan pada masa ini, di samping mengekalkan ketersediaan alat ganti yang tinggi dan piawaian perkhidmatan yang konsisten.
Syarikat itu seterusnya akan menumpukan kepada kemajuan strategi pelbagai rangkaian kuasa merangkumi kenderaan enjin pembakaran dalaman, hibrid, hibrid plug-in dan kenderaan elektrik bateri bagi memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berkembang.
-- BERNAMA