Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis selepas mencatatkan kenaikan kukuh selama tiga hari berturut-turut.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa memberitahu Bernama bahawa kesemua kontrak mengikut bulan mencatatkan penurunan apabila peniaga mengambil sebahagian keuntungan dan turut tertekan oleh jangkaan peningkatan pengeluaran.
Senada dengan pandangan Sathia, Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM berakhir rendah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung.
Beliau juga berkata pengeluaran yang tinggi dan prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang rendah bagi tempoh 1 hingga 20 April menjadikan peniaga lebih berhati-hati.
“Persatuan Minyak Sawit Malaysia menganggarkan pengeluaran minyak sawit negara bagi tempoh 1 hingga 20 April meningkat 17.52 peratus berbanding tempoh 1 hingga 20 Mac tahun ini.
"Ini bertentangan dengan petunjuk daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Semenanjung Selatan yang mempamerkan peningkatan sebanyak 31 peratus," katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2026 turun RM44 kepada RM4,505 setiap tan, Jun 2026 susut RM47 kepada RM4,552 setiap tan dan Julai 2026 merosot RM49 kepada RM4,579 setiap tan.
Kontrak Ogos 2026 berkurang sedikit RM47 kepada RM4,593 setiap tan, September 2026 rendah RM41 kepada RM4,598 setiap tan dan Oktober 2026 menurun RM38 kepada RM4,590 setiap tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 76,015 lot daripada 89,195 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 255,331 kontrak daripada 250,518 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan susut RM20 kepada RM4,570 setiap tan.
-- BERNAMA