AM

Perolehan FA-50M Mendahului Jadual, Syarikat Tempatan Dilantik Pembekal Simulator Global

24/04/2026 02:02 PM

 

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz dan Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Program perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M Block 20 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendahului jadual dengan empat pesawat pertama dijangka diterima menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kemalak, Mejar (B) Mohd Iswandi Mohd Sharif berkata penghantaran kumpulan pertama pesawat itu akan dilaksanakan dalam dua fasa.

“Program FA-50M ini berada pada landasan tepat, malah kita mendahului jadual. Penghantaran dijangka bermula dengan dua pesawat pada Oktober dan Disember menjadikan jumlah penerimaan tahun ini sebanyak empat pesawat seperti dalam kontrak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata penghantaran baki 14 pesawat akan diteruskan secara berperingkat bermula tahun depan, dengan keseluruhan armada dijangka diserahkan sepenuhnya kepada TUDM menjelang 2028.

Katanya sistem simulator penerbangan FA-50M yang dibangunkan rakan strategik tempatan, Ikramatik Systems Sdn Bhd, kini siap sepenuhnya dan sedang menunggu kelulusan untuk pemasangan.

Syarikat tempatan itu dilantik oleh pengeluar pesawat dari Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI), di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP), dan keupayaan membangunkan sistem berteknologi tinggi membawa kepada pelantikannya sebagai salah satu pembekal global rasmi KAI.

Menyentuh konflik di Asia Barat serta ketidaktentuan harga minyak, Mohd Iswandi berkata syarikat itu tidak berdepan sebarang isu besar dan terus beroperasi mengikut garis masa kontrak.

Beliau berkata pada peringkat ini, perancangan Kemalak masih pada tahap minimum dan belum melibatkan pelaksanaan berskala besar.

Mohd Iswandi berkata sebarang kesan operasi ketika ini lebih tertumpu kepada aspek dalaman seperti tenaga kerja dan bukan melibatkan kos tinggi atau komitmen besar.

“Pada masa sama, kita juga sedang menyelaras keperluan bersama pihak Tentera Udara Diraja Malaysia serta Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang baharu dilancarkan. Semua ini diambil kira dalam perancangan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548766