KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- NexG Bhd menjelaskan semua pendedahan telah dibuat tepat pada masanya dan secara telus, serta mencerminkan pematuhan berterusan terhadap piawaian kawal selia dan amalan terbaik tadbir urus korporat.
Menurut penyedia penyelesaian teknologi bersepadu berkaitan keselamatan itu, semua maklumat penting berkaitan pelaburan syarikat telah didedahkan sewajarnya melalui pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia selaras dengan keperluan penyenaraian, selain melalui komunikasi awam lain.
Langkah itu meliputi perkembangan korporat yang rasional, struktur serta relevan.
"NexG mengesahkan menerima memorandum yang dikeluarkan oleh Pemerhati Rasuan Malaysia (MCW) berkaitan dengan pelaburan syarikat.
"NexG ingin menekankan bahawa syarikat memandang serius perkara yang dibangkitkan dan kekal komited terhadap prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik, serta pematuhan kepada semua keperluan kawal selia yang berkenaan," tambah kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Sejajar dengan amalan tadbir urus yang baik dan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak, NexG menjelaskan pihaknya tidak akan memberikan ulasan awam lanjut mengenai dakwaan khusus itu pada masa ini.
Menurut syarikat itu, pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak kawal selia atau pihak penguatkuasaan yang berkaitan sekiranya sebarang penjelasan atau semakan diperlukan.
Menurut laporan sebelum ini, MCW telah membuat laporan polis bagi meminta siasatan penuh terhadap dakwaan penggelapan dana korporat yang melibatkan NexG.
Laporan tersebut menumpukan kepada dakwaan transaksi kewangan yang mencurigakan serta kemungkinan tidak kena yang berlaku antara November 2024 hingga September 2025.
Tempoh itu bertepatan dengan tempoh jawatan Victor Chin Boon Long sebagai Ketua Pegawai Operasi.
Laporan lain menyatakan MCW telah menggesa Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin, untuk memastikan siasatan dalaman dijalankan tanpa berlengah terhadap dakwaan yang dikaitkan dengan Victor Chin, di samping mengingatkan bahawa kegagalan bertindak boleh menimbulkan persepsi cubaan menutup kes.
-- BERNAMA