PASARAN

Bursa Malaysia Diunjur Tidak Berubah Minggu Depan

25/04/2026 10:14 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia diunjur tidak berubah berlegar antara 1,700 hingga 1,730 minggu depan, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng.

Beliau menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tidak berubah dengan kecenderungan meningkat sedikit, disokong oleh aktiviti memburu saham murah yang berterusan dan sentimen semakin baik.

“Walaupun risiko penurunan dilihat terkawal buat masa ini, kenaikan yang mampan akan bergantung kepada hala tuju luaran lebih jelas, terutamanya perkembangan ketegangan geopolitik dan petunjuk pasaran global,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata fokus kini beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 28 hingga 29 April depan, dasar kadar faedahnya dijangka kekal tidak berubah pada 3.50 hingga 3.75 peratus.

“Ini menyusuli bayangan bahawa kadar faedah akan kekal tinggi bagi tempoh lebih lama memandangkan kadar inflasi masih sukar untuk ditangani.

“Pada masa sama, musim laporan pendapatan di AS telah memberikan sedikit sokongan, dengan pengumuman awal menunjukkan S&P 500 kekal berada di landasan untuk mencatatkan satu lagi suku pertumbuhan pendapatan yang kukuh,” katanya.

Mohd Sedek berkata walaupun perkara itu menyokong sentimen risiko jangka pendek, ia mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi sepenuhnya risiko yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan harga tenaga.

Minggu dagangan lebih singkat sempena cuti Hari Pekerja juga dijangka akan mengurangkan kecairan pasaran, katanya.

Secara keseluruhannya, kami mengekalkan pandangan bahawa daya tahan pasaran kekal tidak menentu dengan FBM KLCI diunjur kekal dalam fasa penyatuan dalam persekitaran luaran yang semakin kompleks, katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia didagangkan kebanyakannya tinggi.

Selain itu bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI naik 25.13 mata kepada 1,720.34 daripada 1,695.21 minggu lepas.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 naik 198.09 mata kepada 12,549.30, Indeks FBM Emas meraih 197.55 mata kepada 12,715.72, Indeks FBM Emas Syariah menokok 138.55 mata kepada 12,586.61, Indeks FBM ACE menambah 52.67 mata kepada 4,652.32 manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 348.70 mata kepada 18,072.43. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 408.14 mata kepada 20,222.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.32 mata kepada 192.36, Indeks Tenaga menambah 14.54 mata kepada 830.31 dan Indeks Perladangan susut 83.40 mata kepada 8,845.26.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 16.39 bilion unit bernilai RM15.16 bilion daripada 16.35 bilion unit bernilai RM14.87 bilion, seminggu sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 9.33 bilion unit bernilai RM13.66 bilion daripada 8.97 bilion unit bernilai RM13.41 bilion sebelum ini.

Jumlah waran melonjak kepada 5.00 bilion unit bernilai RM581.05 juta daripada 4.58 bilion unit bernilai RM585.74 juta pada minggu lepas.

Bagi Pasaran ACE, jumlah dagangannya menguncup kepada 2.06 bilion unit bernilai RM812.78 juta daripada 2.80 bilion unit bernilai RM873.03 juta dalam minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549140