JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Bekas Pengarah Syarikat Disyaki Kemuka Butiran Palsu Pinjaman RM200 Juta

24/04/2026 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah institusi kewangan pembangunan sebagai dorongan kelulusan pengeluaran pinjaman berjumlah kira-kira RM200 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan pada 10.35 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat bersama beberapa individu lain yang telah dituduh sebelum ini dan melakukan perbuatan itu pada 2012,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan dituduh Isnin ini (27 April) di Mahkamah Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548994