BUTTERWORTH, 24 April (Bernama) -- Pelaksanaan projek Fibre-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara mencatat kemajuan positif apabila beberapa lokasi berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, termasuk 11 hingga 14 bulan lebih awal.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata projek Jalur Lebar RKAT ialah inisiatif nasional hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Okt 2024, melibatkan lebih 59,000 unit RKAT di 73 kem tentera di seluruh negara.
"Setakat ini, saya lihat segala usaha untuk menyiapkan pemasangan bagi bahagian pertama itu berjalan dengan lancar.
"Ada sedikit kelewatan sebelum ini kerana ada proses saringan dan penelitian pekerja yang akan masuk ke kem untuk pemasangan bagi tujuan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan di Kem Pangkalan Udara (PU) Butterworth, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Fahmi berkata pencapaian itu menunjukkan pelaksanaan projek berjalan lancar dan berkesan, selaras dengan usaha kerajaan memperluas akses Internet berkelajuan tinggi yang berkualiti dan mampu milik kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus memperkukuh kesejahteraan digital rakyat.
Dalam masa yang sama, aspek keselamatan siber turut diberi perhatian melalui kerjasama rapat antara Kementerian Komunikasi, MCMC, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pihak ATM.
“Setakat ini, keadaan adalah terkawal dan tiada isu keselamatan siber yang membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan Projek Jalur Lebar RKAT menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan di seluruh negara, dan sebuah RKAT telah siap sepenuhnya yang kini telah pun beroperasi, manakala enam kem lain menamatkan kerja pemasangan rangkaian serta berada dalam fasa integrasi dan pengujian.
Sebanyak 62 kem masih dalam pelaksanaan kerja infrastruktur sivil dan pemasangan gentian optik, manakala lima kem akan memulakan projek selepas kerja naik taraf RKAT oleh pihak kem selesai.
Di bawah pentadbiran Kem PU Butterworth, satu daripada empat projek RKAT, iaitu RKAT Perumahan Pegawai telah siap dan beroperasi melibatkan 30 unit rumah, dengan sebahagian penghuni kini telah melanggan perkhidmatan jalur lebar yang disediakan.
Melalui inisiatif ini, warga ATM yang mendiami RKAT ditawarkan kemudahan jalur lebar berasaskan gentian optik, dengan pakej langganan pada kadar RM49 sebulan bagi kelajuan 100 Mbps, serta promosi RM39 sebulan untuk enam bulan pertama.
-- BERNAMA