KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan, Shukor Adan menyifatkan penyertaan pasukannya dalam Kejohanan B-17 ASEAN 2026 sebagai medan pembelajaran yang amat bermakna buat barisan pemain muda negara.
Walaupun menyedari harapan peminat tidak terlalu tinggi memandangkan Malaysia menghantar skuad setahun lebih muda, Shukor melihat banyak input positif yang dapat dikutip sepanjang kejohanan di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
“Sebenarnya banyak yang tidak meletakkan harapan tinggi kerana kita menghantar pasukan bawah 16 tahun, namun banyak pengajaran diperoleh sama ada dari sudut positif mahupun negatif.
“Segala kelemahan akan diperbaiki, manakala aspek positif akan diteruskan sebagai persiapan menghadapi kempen akan datang, terutamanya pusingan kelayakan Piala Asia B-17 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” katanya dalam klip audio dikongsikan kepada media hari ini.
Mengulas mengenai kualiti pasukan, Shukor mengakui wujud jurang antara skuad negara dan pasukan lawan terutama Vietnam dari aspek fizikal dan kematangan teknikal.
Menurut beliau, Vietnam memiliki kelebihan kerana berada dalam fasa akhir persiapan menjelang kempen Piala Asia B-17 2026, selain faktor perbezaan umur yang memberikan mereka lebih pengalaman di peringkat antarabangsa.
Katanya pasukan negara memerlukan lebih banyak perlawanan antarabangsa bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan tahap persaingan yang lebih tinggi menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2027.
“Kita dapat lihat jurang itu walaupun hanya perbezaan umur setahun. Pemain Vietnam lebih mantap, namun ini pengalaman terbaik untuk pemain muda kita merasai tekanan menentang pasukan kuat di peringkat ASEAN.
“Pemain kini sedar cabaran di peringkat antarabangsa tidak sama, ada yang mudah dan ada yang sukar. Mereka perlu lebih bersedia kerana kita akan berdepan lawan lebih kuat pada pusingan kelayakan nanti,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Dalam pada itu, Shukor berkata barisan kejurulatihan akan melakukan analisis terperinci terhadap prestasi setiap pemain dan pasukan bagi memastikan skuad negara lebih kompetitif pada masa akan datang.
Sebagai rekod, skuad B-16 kebangsaan muncul naib juara Kejohanan B-17 ASEAN 2026 selepas tewas 0-3 kepada Vietnam pada aksi final di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.
-- BERNAMA