AM

Jangan Jadikan Royalti Petroleum Modal Politik Murahan Raih Sokongan Rakyat

24/04/2026 11:51 PM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Pendekatan bayaran royalti petroleum oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan projek pembangunan dan tidak wajar dijadikan modal politik murahan untuk pihak pembangkang meraih sokongan rakyat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata langkah itu merupakan mekanisme yang sedia ada selain melibatkan penyelarasan antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi memastikan dana dimanfaatkan secara berkesan.

“Kita hendak pastikan bahawa dana khas ini tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji dan emolumen semata-mata tetapi juga pada masa yang sama, diselaras antara Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan dan juga kerajaan negeri.

“Ia bertujuan untuk kita pastikan projek-projek memberi faedah kepada rakyat serta dipantau dan dilaksanakan tanpa masalah ketirisan dan juga kebocoran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 23 April lepas, media melaporkan bahawa Kerajaan Terengganu mendedahkan sebanyak RM2.25 bilion bayaran royalti petroleum tidak disalurkan ke akaun kerajaan negeri secara kumulatif sejak 2023.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil berkata pelaksanaan inisiatif MADANI Mart menggunakan pendekatan berbeza berbanding model Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata KR1M melibatkan penggunaan dana kerajaan dalam skala besar manakala MADANI Mart dilaksanakan melalui kerjasama antara Yayasan MADANI dan pihak swasta yang berminat dalam perniagaan runcit.

“Jika sebelum ini barangan seperti beras, gula dan susu dijenamakan di bawah label KR1M, kini kita tidak menggunakan kaedah itu sebaliknya mengekalkan jenama sedia ada di pasaran.

“Mana-mana usahawan yang berminat untuk menjalankan perniagaan ini juga perlu mengeluarkan dana sendiri dan pihak Yayasan MADANI akan bantu dari sudut teknikal termasuk penyelarasan operasi bagi memastikan pelaksanaan yang seragam,” katanya.

Selain itu, Muhammad Kamil berkata pihaknya terbuka dalam menerima pandangan dan cadangan bagi memastikan kewujudan kemudahan berkenaan memberi manfaat lebih-lebih lagi kepada golongan berpendapatan rendah.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549097