LOS ANGELES, 25 April (Bernama-Xinhua) -- California, ekonomi negeri terbesar di Amerika Syarikat (AS), menyaksikan stok bahan api jetnya merosot lebih 25 peratus daripada paras tertinggi tahun lalu kepada tahap terendah sejak 2023 susulan perang di Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak global.
Berdasarkan data Suruhanjaya Tenaga California, stok bahan api jet negeri itu berjumlah 2.6 juta tong minggu lalu, menurun daripada lebih 3.5 juta tong pada paras tertinggi tahun lepas, lapor Xinhua memetik laporan Los Angeles Times pada Jumaat berdasarkan data kerajaan.
California menapis sebahagian besar bahan apinya sendiri namun masih bergantung kepada import minyak mentah. Negeri itu mempunyai kapasiti menapis kira-kira 200,000 tong bahan api jet sehari. Pada 2025, sebanyak 61 peratus bekalan minyak mentah ke loji penapisan California datang daripada sumber luar negara, manakala sekitar 23 peratus diperoleh dari dalam negeri itu sendiri, menurun daripada 35 peratus lima tahun lalu, menurut laporan berkenaan.
Bekalan yang semakin berkurangan turut menjejaskan rancangan perjalanan musim panas para pelancong di tengah-tengah kekurangan global, termasuk pembatalan penerbangan dan kenaikan tambang. Keadaan itu juga berpotensi menjejaskan rancangan individu yang ingin ke Los Angeles bagi menghadiri Piala Dunia 2026 yang bermula pada Jun, kata Mike Duignan, profesor di Universiti Paris 1 Pantheon-Sorbonne kepada akhbar berkenaan.
Kedudukan California yang agak terasing daripada rangkaian saluran paip nasional menjadikannya lebih terdedah kepada kekurangan bekalan bahan api.
Perang di Asia Barat terus menekan bekalan tenaga global dan memberi kesan limpahan kepada ekonomi. Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa Fatih Birol minggu lalu memberi amaran bahawa Eropah mungkin hanya mempunyai kira-kira enam minggu bekalan bahan api jet sekiranya gangguan bekalan semasa berterusan.
-- BERNAMA-XINHUA