AM

Cadangan Projek Kabel Dasar Laut Myus Dapat Kurangkan Pergantungan Kepada Laluan Data Asing 

25/04/2026 11:20 AM

Oleh AHMAD ERWAN OTHMAN

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia perlu segera mewujudkan infrastruktur kabel dasar lautnya sendiri untuk menghubungkan negara secara terus ke Amerika Syarikat (AS) bagi melindungi keselamatan digital pada masa depan dan mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap hab transit asing.

Ketua pegawai eksekutif Hexa Capital Consultancy PLT, Datuk Dr Azhari Hadari berkata cadangan projek kabel dasar laut Malaysia-AS (MYUS) bukan lagi sekadar usaha niaga tetapi ‘aset strategik negara’ yang penting untuk kedaulatan dan keselamatan digital negara bagi mengurangkan pendaman dan mengelak laluan transit sedia ada yang sesak dan sensitif kepada perkembangan geopolitik melalui negara ketiga seperti Singapura dan Hong Kong.

Mengenai kepentingan strategik projek itu, Azhari berkata Malaysia kini beroperasi sebagai 'jejari' dalam roda serantau yang berpusat di tempat lain, dan dengan adanya hubungan kabel terus sendiri akan mengubah negara menjadi hab data utama untuk ASEAN.

“Kita mesti mempunyai ketersambungan terus kita sendiri. Bergantung sepenuhnya pada laluan sedia ada melalui negara jiran seperti Singapura atau Hong Kong menyebabkan data negara kita terdedah kepada gangguan luaran,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Azhari, yang juga pakar dalam sektor telekomunikasi dan infrastruktur memberi amaran bahawa pergantungan tinggi terhadap hab kabel asing boleh menimbulkan risiko besar 'gangguan' atau lumpuh digital jika pusat serantau tersebut berdepan serangan geopolitik atau sabotaj secara fizikal.

Beliau mengambil contoh ketegangan geopolitik di Asia Barat khususnya merujuk kepada laporan bahawa Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah memberi bayangan tentang potensi ancaman terhadap kabel internet dasar laut di Teluk Parsi dan Selat Hormuz.

“Situasi di Asia Barat menunjukkan bahawa infrastruktur digital bukan lagi aset neutral; ia adalah sasaran strategik bernilai tinggi,” katanya sambil menambah kerosakan fizikal di Laut Merah kini di luar keupayaan industri untuk menjalankan pembaikan disebabkan oleh kekangan insurans risiko perang.

Azhari berkata projek kabel MYUS - sistem dasar laut dengan jarak hampir 20,000 kilometer (km) - bertujuan untuk mengelakkan kawasan maritim yang menjadi pertikaian seperti Laut China Selatan, sebaliknya memilih laluan yang lebih selamat melalui wilayah AS di Guam dan Oregon.

“Laluan langsung ini memastikan Malaysia menyediakan digital highway (infrastruktur digital) dengan pendaman terendah dan terpendek ke AS, yang penting untuk menjayakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 dan rangka kerja Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat, selain memperkukuh hasrat negara untuk muncul sebagai hab pusat AI dan data terkemuka di ASEAN,” katanya.

“Data ialah  'komoditi minyak' baharu. Pusat data bernilai berbilion dolar yang sedang dibina di Johor dan Lembah Klang adalah ‘enjin’ yang memerlukan lebar jalur berkapasiti tinggi sebagai ‘bahan api’. Tanpa MYUS, pusat ini terus bergantung kepada ‘saluran paip’ yang dikawal pihak asing, yang berpotensi mengehadkan pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Beliau juga berkata sistem kabel akan dapat meningkatkan lagi kelajuan, pendaman dan kecekapan kos dengan mengurangkan pelbagai 'hop' transit rangkaian yang kini diperlukan melalui laluan serantau.      

Inisiatif ini dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) daripada penyedia perkhidmatan awan berskala besar global seperti Google, Amazon dan Microsoft, yang sedang mengembangkan operasi pusat data mereka di Malaysia.

“Sebenarnya, ini sangat besar manfaatnya kepada Malaysia. Malaysia mahukan FDI, dan kita sudah ada FDI dalam bentuk pusat data yang besar. Google, Amazon dan Microsoft sudahpun ada di sini, tetapi mereka bertanya sama ada kita bersedia untuk ini. Jika tidak, mereka akan pergi ke Singapura. Jika kita mempunyai inisiatif ini,  akan memudahkan lagi pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata projek ini mendapat pengiktirafan antarabangsa dan sejajar dengan rangka kerja peringkat tinggi yang disokong kerajaan AS, termasuk Perkongsian bagi Infrastruktur dan Pelaburan Global (PGI) yang disokong G7 dan tonggak digital Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

Azhari juga berkata geran kajian kebolehlaksanaan daripada Agensi Perdagangan dan Pembangunan AS (USTDA) pada 2023 merupakan bukti keyakinan tinggi terhadap kestabilan Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dalam rantaian bekalan data global.

“AS melihat Malaysia sebagai pintu masuk pilihan bagi pelaburan teknologi Amerika ke Asia Tenggara. Projek ini mengurangkan pendedahan Malaysia kepada ketidaktentuan bagi gergasi teknologi seperti Google, Microsoft dan Amazon,” katanya.

Beliau berkata kajian kebolehlaksanaan projek MYUS telah selesai pada akhir 2024, dengan kontrak disasarkan bermula pada 2026 yang seterusnya disusuli dengan pembinaan serta dijangka mencapai status Sedia untuk Perkhidmatan (RFS) menjelang akhir 2028, bergantung kepada pembiayaan dan keadaan bekalan kabel dasar laut global.

Projek ini, katanya, akan meletakkan Malaysia sebagai 'lokasi selamat digital' dalam landskap global yang berbeza-beza.

Beliau berkata kekuatan Malaysia yang kaya dengan sumber tanah, air, kuasa dan tenaga boleh baharu meletakkan negara di kedudukan kukuh untuk mencapai pertumbuhan pusat data, namun kita masih kekurangan ketersambungan antarabangsa. 

Azhari juga mendedahkan stesen pendaratan untuk projek itu telah dirancang di Johor, termasuk Mersing dan Sedili, dengan rangkaian tambahan ke hab pusat data serantau.

Oleh itu, beliau menggesa sinergi awam-swasta yang berterusan untuk memperkukuh kedaulatan digital negara, memastikan Malaysia tidak kekal sebagai risiko 'orang tengah' dalam transit data serantau.

Projek MYUS menyasarkan sumber pembiayaan US$720 juta menjelang Jun 2026 dan dilihat sebagai satu pelaburan keselamatan untuk negara pada masa depan.

Projek dengan kapasiti 240 Tbps itu bakal menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong permintaan pesat yang didorong oleh AI generatif.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549168