AM

Peruntukan Pembangunan Bagi Pulau Pinang Meningkat 60 Peratus - PM Anwar

25/04/2026 04:22 PM

BATU KAWAN, 25 April (Bernama) -- Peruntukan pembangunan untuk Pulau Pinang meningkat 60 peratus tahun ini kepada RM7.8 bilion berbanding kurang daripada RM5 bilion pada 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan kepada negeri ini telah ditingkatkan secara konsisten sejak 2023 iaitu sebanyak RM5.7 bilion, diikuti RM5.8 bilion pada 2024 dan RM7.6 bilion pada 2025.

“Ini adalah hak dan kewajaran membantu yang munasabah, menunjukkan peningkatan hampir 60 peratus berbanding 2022,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara projek utama yang dilaksanakan di Pulau Pinang ialah projek Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD).

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak meminggirkan negeri lain sebaliknya terus meningkatkan peruntukan pembangunan di seluruh negara selaras dengan pertumbuhan hasil kerajaan.

Selepas majlis berkenaan, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seberang Perai Tengah di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Bukit Mertajam bagi menyelaras agenda pembangunan setempat.

Mesyuarat berlangsung selama 45 minit itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan membincangkan isu pembangunan setempat termasuk aspek infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan rakyat di daerah Seberang Perai Tengah.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549270