KUCHING, 25 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis memeriksa 21 premis dan vesel sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 dari 10 April di perairan Sarawak.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Mahkos Juing berkata operasi itu memberi tumpuan kepada pengesanan aktiviti penyelewengan diesel dan petrol yang boleh menjejaskan bekalan domestik serta kestabilan ekonomi negara.
“Dalam operasi enam hari yang meliputi perairan Tanjung Manis dan Sungai Rajang, satu tangkapan direkodkan membabitkan nilai sitaan hampir RM35,000 manakala dua lagi dikenakan amaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ketegangan geopolitik global memberi tekanan kepada pasaran tenaga, justeru penguatkuasaan terhadap penyeludupan bahan bersubsidi dipergiat bagi memastikan bekalan negara kekal mencukupi dan terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mahkos berkata pelaksanaan Ops Tiris 4.0 akan diteruskan secara berfasa oleh agensi terlibat bagi memastikan kawalan serta pemantauan di laut kekal pada tahap optimum.
Beliau berkata kerjasama strategik antara APMM dan KPDN akan terus diperkukuh bagi memastikan objektif operasi tercapai sekali gus melindungi kepentingan komuniti maritim serta menjamin keselamatan perairan negara.
Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau sebarang kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis 011-3572 8765 atau Pusat Operasi Maritim Sarawak 082-432544 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA