SUKAN

Malam Yang Teristimewa - Azizulhasni

25/04/2026 10:32 PM

NILAI, 25 April (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan kejayaannya merangkul pingat emas keirin lelaki pada kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional di sini sebagai detik paling istimewa dalam kerjayanya.

Di sebalik sorakan gemuruh ribuan penyokong tempatan, Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' mengakui perlumbaan di halaman sendiri menuntut kekuatan mental luar biasa bagi mengimbangi tekanan dan harapan tinggi seluruh negara.

“Sejujurnya untuk berlumba di halaman sendiri bukan mudah kerana tekanan dan harapan tersebut. Namun, Alhamdulillah, dengan pengalaman hampir 20 tahun di peringkat tertinggi, saya gunakan sebaik mungkin untuk kekal fokus.

“Saya mengambil pendekatan untuk fokus langkah demi langkah sejak sesi pagi lagi. Bagi saya, malam ini sememangnya cukup istimewa di hadapan home crowd,  khususnya keluarga saya - isteri, anak-anak. Mak saya pun ada kat sini,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Terdahulu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berdepan detik mencabar pada pusingan kedua sesi pagi apabila terpaksa melakukan pecutan lebih awal selepas dihimpit pelumba lawan, sekali gus menyebabkan beliau mengalami keletihan melampau.

Beliau berkata faktor cuaca dan persekitaran yang panas serta berpeluh berlebihan turut memaksanya lebih teliti dalam aspek sains sukan, khususnya melibatkan hidrasi dan pengambilan nutrisi bagi memastikan prestasi puncak tidak terjejas di pentas final.

"Saya perlu sangat teliti tentang perincian pemakanan dan hidrasi. Jika minum terlalu banyak pun, perut akan berasa tidak selesa dan mengganggu kualiti pecutan. Namun, segala pengorbanan itu berbaloi pada malam yang sangat bermakna ini,” kata juara dunia keirin 2017 itu.

Mengulas perlumbaan final, Azizulhasni berkata beliau mengesan ruang pada saat yang tepat untuk melakukan gerakan memintas.

“Saya rasa pengalaman memainkan peranan untuk melakukan gerakan tersebut. Bukan mudah untuk menyelit di celah-celah pelumba lain. Alhamdulillah, saya dapat mengerah tenaga untuk memecut kira-kira 80 meter terakhir,” katanya yang dijadual turun beraksi dalam acara pecut individu esok.

Kemenangan itu menyaksikan Azizulhasni menewaskan pencabar utama, juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda yang meraih tempat kedua, manakala wakil Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul berpuas hati di tempat ketiga.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas turut menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549425