MEXICO CITY, 25 April (Bernama-Xinhua) -- Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Jumaat menegaskan bahawa kedaulatan negara itu “tidak boleh dirunding”, sambil menolak sebarang bentuk campur tangan asing khususnya daripada Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
Pada sidang media hariannya, Sheinbaum berkata kerjasama dengan negara lain mesti mematuhi sepenuhnya perlembagaan Mexico dan undang-undang keselamatan negara.
Beliau berkata hubungan Mexico dengan AS berasaskan penyelarasan dan kerjasama, namun menegaskan perlunya penjelasan sama ada ejen risikan asing terbabit dalam operasi baru-baru ini di negeri Chihuahua, utara Mexico.
Beliau memberi amaran bahawa pembabitan sedemikian melanggar undang-undang Mexico.
Dua kakitangan kedutaan AS maut dalam kemalangan di Chihuahua pada Ahad.
Pihak berkuasa tempatan berkata mangsa ialah tenaga pengajar yang menyertai pertukaran latihan rutin, namun The Washington Post melaporkan mereka ialah ejen Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) yang terbabit dalam operasi antinarkotik berkaitan pembongkaran makmal dadah haram.
Sheinbaum turut mengkritik gesaan pihak tertentu di Mexico supaya campur tangan asing dibenarkan dalam urusan domestik, sambil berkata semua peringkat kerajaan dan rakyat mesti mematuhi undang-undang negara.
Beliau menjelaskan bahawa pentadbirannya akan menghantar surat kepada gabenor negeri bagi memastikan sebarang kerjasama dengan agensi asing mematuhi rangka kerja undang-undang dan diselaraskan dengan Kementerian Luar serta Kabinet Keselamatan.
-- BERNAMA-XINHUA