MOSCOW, 25 April (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) sedang menyediakan cadangan yang akan membolehkan penggunaan Jet A sebagai alternatif kepada bahan api jet standard Eropah, Jet A-1, sekiranya berlaku kekurangan bekalan, menurut badan pengawal selia itu kepada RIA Novosti.
Menurutnya, setakat ini tiada garis masa ditetapkan bagi penerbitan cadangan berkenaan.
EASA berkata kebanyakan pesawat di Kesatuan Eropah (EU) diperakui untuk beroperasi menggunakan kedua-dua Jet A-1 dan Jet A, dan kedua-duanya sudah digunakan secara campuran dalam penerbangan dari Amerika Syarikat (AS).
Terdahulu, Pesuruhjaya Tenaga Eropah Dan Jorgensen mengakui EU berkemungkinan menghadapi kekurangan bahan api penerbangan dalam tempoh lima hingga enam minggu.
Ketegangan yang memuncak melibatkan Iran telah menyebabkan sekatan secara de facto di Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, selain turut menjejaskan eksport dan pengeluaran minyak di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI