DUNIA

Lebih 800 Terbunuh Di Semenanjung Gaza Sejak Gencatan Senjata

25/04/2026 08:29 PM

KAHERAH, 25 April (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Lebih 800 rakyat Palestin terbunuh di Semenanjung Gaza sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu.

“Sejak gencatan senjata, 809 orang terbunuh dan 2,267 lagi cedera,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kementerian itu menambah bahawa 17 orang terbunuh dan 32 lagi cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh 48 jam lalu.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan pergerakan Palestin Hamas di Semenanjung Gaza berkuat kuasa pada 10 Okt.

Wakil Hamas Ghazi Hamad berkata tentera Israel telah melanggar gencatan senjata ratusan kali.

Sejak konflik tercetus antara Hamas dan Israel pada Oktober 2023, lebih 70,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 170,000 lagi cedera.

Pertubuhan serantau dan antarabangsa menganggarkan pembinaan semula enklaf yang musnah itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu dekad dan memerlukan kira-kira US$70 bilion.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549397