Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 25 April (Bernama) -- Ia lebih kepada rasa ingin tahu berbanding tekanan dalam detik berdebar.
Itulah reaksi pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, selepas menghadiahkan mata kemenangan yang menyelamatkan Malaysia daripada kejutan apabila menewaskan England 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Thomas di Forum Horsens, hari ini.
Pemain ranking dunia ke-82 itu kekal tenang dalam perlawanan penentuan, sekali gus menukar situasi yang boleh menjadi tegang kepada aksi penuh kawalan apabila menewaskan pemain ranking ke-233 dunia, Nadeem Dalvi 21-13, 21-11 dalam tempoh 35 minit.
Dalam temu bual selepas perlawanan bersama Bernama, Zii Jia mengakui situasi tersebut agak luar biasa, namun lebih mencetuskan rasa teruja berbanding tekanan.
“Ini juga kali pertama saya bermain perlawanan penentu. Saya ingin tahu bagaimana saya akan selesaikan misi ini, ia sangat mencabar.
“Tekanan memang ada (dalam detik penentuan), tetapi tidak terlalu besar. Saya lebih teruja untuk mengharungi situasi itu,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan Aaron Chia yang bersama Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan 1-1 selepas menewaskan pasangan Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13 berkata mereka memikul tanggungjawab untuk mengembalikan Malaysia ke landasan kemenangan selepas kekalahan perseorangan pertama, Justin Hoh.
Aaron berkata kekalahan Justin tidak menjejaskan mental pasukan, sebaliknya mereka kekal yakin untuk melaksanakan tugas sebagai sandaran utama negara dalam kejohanan itu.
Justin, pemain ranking ke-44 dunia, pula mengakui dirinya tewas akibat tekanan apabila tunduk kepada pemain ranking ke-62 dunia Harry Huang 19-21, 19-21.
Dalam pada itu, perseorangan kedua negara Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menghuni ranking ke-51 dunia kecewa dengan prestasinya selepas tewas mengejut kepada pemain ranking ke-153 dunia Cholan Kayan 16-21, 15-21.
Gandingan beregu kedua negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun memastikan Malaysia terus hidup dalam perlawanan itu apabila menewaskan pasangan Alex Green-Zach Russ 21-14, 21-14 sebelum Zii Jia muncul wira untuk menghadiahkan kemenangan keseluruhan kepada Malaysia.
Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada 1992 akan menentang Finland pada Isnin ini (27 April) sebelum menamatkan saingan Kumpulan B menentang juara 2014, Jepun pada Rabu (29 April).
-- BERNAMA